Pengumuman: Persembahan 9 Julai 2011 Dibatalkan

Salam hormat. Persembahan pada 9 Julai 2011 terpaksa dibatalkan atas sebab keselamatan gara-gara Himpunan Demo BERSIH. Persembahan tambahan akan diadakan pada 10 Julai 2011, 3.00 pm. Pemegang tiket 9 Julai boleh menukarkan tiket mereka ke mana-mana tarikh pilihan yang lain ataupun meminta pulangan wang. Hubungi Ticket2u di talian 03-4147 8600. Kami meminta maaf atas segala kesulitan yang timbul.

Monday, June 6, 2011

SOSEH-SOSEH: FARA KE PENTAS TEATER (HARIAN METRO 7 JUN 2011)


MUNGKIN ramai yang tidak tahu penyampai Hot FM, Fara Fauzana ingin pula berjinak-jinak dalam bidang teater tempatan. Sebelum ini, Fara pernah berlakon filem fantasi Jin Notti bersama Mawi.
SS dengar Fara pernah ditawarkan untuk berlakon dalam teater muzikal Gamat terbitan CTRA Productions tetapi tidak kesampaian kerana agenda seninya begitu padat ketika itu.
Sekalipun tidak berlakon dalam teater itu kata rakan SS, Fara tetap hadir untuk memberi sokongan kepada pementasannya sekali gus bidang teater tanah air kita yang semakin berkembang.

Terbaru, SS dengar, Fara ditawarkan sekali lagi oleh produksi yang sama untuk berlakon dalam pementasan terbaru daripada CTRA Production iaitu teater Mak Dara Nyonya.

Menariknya, Fara khabarnya tidak perlu uji bakat pun untuk berlakon dalam teater berkenaan. Amboi yakin boleh ‘gitu’.

Menurut pihak produksi sendiri kepada rakan SS, watak yang ditawarkan pada Fara bukanlah watak utama tapi watak itu tetap memainkan peranan tersendiri dalam teater berkenaan.

Watak isteri juga memerlukan Fara menjadi ‘gila-gila’ sikit berbanding watak lain dalam teater itu seperti Keponakan A, Keponakan B dan Keponakan C yang dilakonkan Sarimah Ibrahim, Misha Omar dan Nurzizi Zulkifli. Itu pun ada menariknya juga.

SS percaya, pasti ramai peminat teater yang teringin hendak menonton Fara beraksi secara ‘live’ di pentas nanti. Bersandarkan pengalaman Fara berlakon dalam drama sebelum ini, tentulah dia mampu memberikan lakonan yang bagus dalam teater berkenaan.

Barisan pelakon lain teater Mak Dara Nyonya adalah Sherry Abdullah (Nyonya), Juhara Ayob (Mak Dara), Zaifri Husin ( Tua), Nurzizi Zulkifli (Keponakan A), Sarimah Ibrahim (Keponakan B), Misha Omar (Keponakan C).

Sidang media bagi mengumumkan barisan pelakon teater ini juga berlangsung di Hotel Quality, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 15 Jun nanti.

Apapun, SS mengalu-alukan Fara untuk mengembangkan lagi bakatnya di pentas teater tanah air. Semoga peminat teater juga akan memberi sokongan padu pada Farah untuk pergi lebih jauh dalam bidang drama pentas.

Teater Mak Dara Nyonya ditaja JMD Sdn Bhd dan bakal dipentaskan dari 6 hingga 12 Julai ini di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), Kuala Lumpur sempena Festival Kuala Lumpur 2011.

Tiket untuk menyaksikan teater ini berharga RM32, RM52 dan RM82. Keterangan lanjut, boleh layari www.ticket2u.biz/www.makdaranyonya.blogspot.com.